Wednesday, December 30, 2009

Salam 2010

Lagi dua hari tahun baru nak menjenguk. Cepat rasanya masa berlalu.. Insyirah pun dah nak masuk 5 bulan. Lagi sebulan kena masakkan makanan untuk dia dah. Memang bahagia betul rasanya ada anak ni.

Harapan aku agar dalam hidup ni akan ada perubahan. Aku nak merasa ada kereta, rumah, kebebasana kewangan... Dan paling utama nak sediakan segala yang terbaik untuk permata hati aku, Insyirah..

InsyaAllah segala persiapan untuk mulakan perniagaan dah ada. Cuma aku kena bergerak dan mulakan. Aku kena gigih berusaha, kerja kuat, tak putus asa dan kuat semangat. Biar apapun cabaran yang datang aku tak boleh kalah dan mengalah, aku kena lawan.

Kepada semua kawan-kawan, selamat tahun baru 2010. Semoga kita sama-sama mendapat keredhaan Allah, keberkatan dan kejayaan. Dan semoga kita menjadi hambaNya yang lebih taat insyaAllah..

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Wednesday, November 25, 2009

Salam..


Hani Insyirah 3 bulan..


2 bulan setengah...


2 bulan..


4 hari dalam pantang..


finally, im a mother..


Salam. Lama betul tak update blog ni. Sejak bergelar 'ibu' ni masa memang sentiasa tak cukup. Bukan sebab anak ramai, tapi sebab yang nan seorang ni kuat memerap. Nak buat apapun kena la tunggu dia tidur dulu. Kalau tak, tinggal sekejap nak ke tandas pun dia dan menangis. Aduhhh.. Kalau dia nak tidur siang tak apalah juga. Siang tak nak tidur, nak main je, kena la layan. Nanti malam bila dia tidur baru la nak pulun buat semua kerja. Jadi bila ada masa nak buat benda lain hehehe... Walau apapun im glad im a mother.. Pada kawan-kawan yang baru kawin tu cepat-cepatla ada anak. Letih macam mana pun, bila tengok muka anak hilang segala duka lara, penat lelah. Dan yang paling best, boleh buat kawan.

Nama anak aku Hani Insyirah. Lahir pada 070809. Alhamdulillah, sakit pun tak lama. Due date aku sebenarnya 220809, jadi aku cepat dua minggu la. Yang paling aku tak boleh lupa tu sebab 050809 aku pindah rumah, esoknya dah turun darah. Nasib baik tak kena tahan, doktor bagi balik. Malam tu juga aku boleh berjalan lagi di The Store, cari barang-barang yang tak sempat nak beli lagi. Suami aku memang marah, tapi aku buat tak tahu je la. Mana dia tak marah, aku dah menanti masa je nak melahirkan, tapi gatal juga nak berjalan. Hobi hehehe... Orang kata banyak berjalan senang bersalin. Jadi aku kira betul la apa yang orang cakap tu. Sebab aku pegi hospital 070809 tu jam 12.00pm. Memangla sakit, tapi tahap yang aku boleh tahan lagi. Jam 4.00pm barula bermula sakit yang tak dapat nak diceritakan. Hanya mereka yang pernah melalui dan mengalaminya sahaja yang tahu hehehe.. Syukur alhamdulillah, sakit pun tak lama. Tepat jam 1857 aku selamat melahirkan anak Hawa, berat 2.7kg. Jadi betul la petua orang tua-tua tu kut, banyak berjalan senang bersalin hikhikhik..

Masa mula-mula dengar suara tangisan dia, menitis airmata aku. Ye la, dah bergelar ibu akhirnya. Saat-saat yang dinantikan selama berbulan akhirnya tiba juga. Im so excited to see myown child. Memang aku tak pernah nak tahu jantina bayi masa dalam perut. Nanti tak ada la element of surprise tu. Bila dah keluar baru excited nak tengok. Alhamdulillah, bila nurse tunjuk baby kat aku, tengok dapat princess, memang syukur sangat. Yang penting sihat, sempurna sifat. Merasa la semalam tinggal dalam wad.

Yang sedihnya aku dapat tengok dan pegang anak aku sekejap sangat. Dia ada 'biru' sikit kata doktor, jadi dia terus di hantar ke wad kanak-kanak sementara aku di tolak ke wad ibu-ibu la hahaha.. Masa bersalin suami aku tak ada. Dia tunggu punya lama, aku tak bersalin juga. Bila dia keluar ke tandas, masa tu la anak dia nak menjengah dunia, tak sempat nak tunggu tunggu dah. Jadi nurse yang bertugas pun keluarlah cari suami aku, nak bagitau yang aku dah selamat bersalin. Tapi yang aku tak dapat lupa tu, nurse tu silap bagi maklumat pada suami aku. Dia kata aku dapat anak lelaki. Suami aku pun hantarlah sms pada keluarga semua mengatakan aku dah selamat melahirkan anak lelaki. Haru betul..

Tapi masa tu aku pun tengah sakit lagi, tengah lemah, jadi blurrr... Seingat aku masa nurse tu tunjuk kat aku, memang sah perempuan. Tapi yakin 100% ke aku? Ye la, masa tu tengah sakit kan, tibe-tiba rasa tak yakin pulak. Nak di periksa anak tak ada dengan aku, nun jauh di wad kanak-kanak. Jadi sepanjang malam tu aku asyik tertanya-tanya jantina sebenar anak aku.

Esoknya, tengahari baru aku discharge. Masa itulah baru dapat nak pegi tengok anak. Tak sabar betul rasanya. Sampai je di Wad 6C tu, aku terus masuk dan cari katil anak aku, sebab ada nombor. Bila tengok dia, alahai anak aku... Yang pertama sekali aku buat mestila periksa jantina dia kan. Sah, perempuan hahaha. Semua dah selamat, jadi kami pun balik ke rumah. Nasib baik mama, ayah dan adik beradik aku semua datang berkumpul di rumah aku, tolong kemas barang-barang yang baru pindah tu hehe.

Dan... Di hari ketujuhnya si kecil di beri nama Hani Insyirah. Hani bermaksud tenang, dan Insyirah bermaksud penerang, penjelas, penyuci.. Pada hari yang sama juga Insyirah dicukur, dibotakkan...

Tuesday, April 7, 2009

Ini Cabaran!

Hari ini memang sangat meletihkan. Letih badan dan letih fikiran. Memang benar, kawan ketawa ramai tapi bila mencari kawan yang sanggup susah bersama, payah. Itu yang sedang aku alami. Aku pun tidaklah meminta bantuan mereka, cuma bertanya pendapat dan pandangan. Malah sejak awal aku menyuarakan keinginan dan hasrat hati, mereka juga yang beria-ia ingin membantu. Tapi bila sampai masa, rasa cemburu pula yang menguasai diri. Pelik kan manusia.. Aku memang kurang arif dengan ragam dan sifat mereka, kerana itu aku sering dan acap kali tertipu dengan janji-janji manis yang sebenarnya palsu. Aku sering berharap pada sesuatu yang sebenarnya tidak boleh aku harapkan. Kenapalah aku tidak pernah belajar dari pengalaman-pengalaman lalu..

Kecewa..? Rasanya kecewa sudah sebati dalam jiwa aku. Tapi aku belum kenal putus asa. Memang pernah berputus asa, tetapi aku kuatkan semangat dan lawan kembali. Aku bangun dari runtuhan semalam, cuba dan terus cuba membina impian yang belum tergapai. Sering aku gagal, namun semangat ini takkan luntur. Biar sesusah mana sekalipun, aku tetap akan redah. Tapi meredah segala-galanya seorang diri benar-benar membuatkan aku lelah, penat..

Masa sebenarnya semakin singkat untuk aku. Dan terlalu banyak perkara yang masih belum selesai. Aku perlu mengerah tenaga yang semakin lama semakin berkurangan kerana keadaan diri. Yang paling memenatkan kerana jalannya terlalu bengkang-bengkok, aku tak berdaya meredahnya. Tapi aku tak punya banyak pilihan. Demi dia yang sangat-sangat aku sayangi dan nantikan, aku akan teruskan perjuangan ini, walau seribu yang datang menghancurkan semangat aku! Semoga aku mendapat kekuatan dan semoga Allah membuka jalanNya untuk aku.. Amin..

Kepada hati, kuatlah engkau.. Kepada jiwa, tabahlah mengharungi segala-galanya.. Dan kepada akal serta fikiran, jangan sekali-kali kau leka dalam menilai segala-galanya..

Tuesday, March 24, 2009

perihal anak

Semalam jam 9.23am aku menerima panggilan telefon dari sahabat yang nun jauh di Johor. Ada berita gembira yang dikhabarkan kepada aku. "Berat Wafiy dah naik 60 gram, dan doktor pakar kata keadaan dia dah stabil. Kami dah boleh balik Perak, tapi ada masalah dari segi transportation. Kena uruskan samada dengan Hospital Manjung atau Hospital Teluk Intan. Mungkin makan masa seminggu dua juga.."

Itulah berita gembira yang aku terima dari Azwa tentang anaknya Wafiy yang lahir pra-matang. Alhamdulillah, berita itu serasa aku sudah cukup untuk melegakan hatinya yang dibebani pelbagai perasaan sejak akhir-akhir ini.

Dan kini, aku menanti kepulangan mereka ke Manjung.. Aku begitu teruja untuk menemui mereka kerana dari saat Wafiy mula mengisi rahim sahabatku, kami sama-sama berkongsi kegembiraan tersebut kerana aku tahu betapa mereka berdua menginginkan anak. Hanya setelah hampir setahun berusaha akhirnya Allah mendatangkan rezeki yang tidak ternilai harganya buat mereka.

Semalam ketika berbincang dengan Mr. M aku, banyak juga yang kami perkatakan. Dan aku tiba-tiba mendapat satu semangat baru, untuk memulakan perancangan baru dalam hidup. Namun aku masih perlu bersabar, kerana kesihatan belum benar-benar mengizinkan aku untuk bebas bergerak ke sana dan ke sini. Jadi buat masa sekarang segala perancangan dan idea yang sedang melimpah ruah dalam fikiranku ini, aku turunkan satu demi satu di atas kertas. Semoga Allah memberkati aku, memberikan kesihatan yang sempurna buat kami berdua. Dan sampai saat dan ketikanya aku dibenarkan bekerja, aku akan melakukan sebaik yang mungkin. Untuk mengubah hidupku, dan hidup 'dia' yang sudah begitu lama aku nantikan kehadirannya...

Friday, March 20, 2009

Penantian

Berapa lama mesti kunanti
Sinar cahaya matamu
Gemerlap bagai bintang
Menghiasi malam
Malam yang menutup diriku

Berapa lama perlu kutunggu
Lontaran suara dari bibirmu
Memecah hening taman
Taman syurgawi
Pada sebuah hati yang sepi

Penantian suatu siksa
Yang tidak tertanggung
Oleh tubuhku yang kering dan layu
Kepastian suatu penawar
Dalam suka dan duka
Yang meniti hidupku

Lagu allahyarham Zubir Ali.. Sesungguhnya hanya mereka yang tahu yang akan mengerti segala penantianku ini..

Thursday, March 19, 2009

salam buat semua...

Lama betul tak update blog. Kepada rakan-rakan semua, maafkan saya ye.. Kesihatan benar-benar tidak mengizinkan saya. Sebenarnya ada banyak yang ingin saya kongsikan bersama, tapi masa masih tidak mengizinkan. Saya akan cuba update perlahan-lahan nanti.

Cuma ada beberapa berita gembira yang ingin saya sampaikan kepada kawan-kawan semua. Yang pertamanya, sahabat baik saya, Azwa telah pun selamat melahirkan bayi pra-matang pada 10 Mac yang lalu di Hospital Johor Bharu. Bayi lelaki seberat 900 gram, Mohd Faiz Wafiy, kini masih menjalani rawatan rapi di hospital. Alhamdulillah ibu dan anak selamat.

Yang keduanya, juga sahabat baik saya, Nizah telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 2.55 kg pada 4 Mac 2009 di Kuala Lumpur. Bayi kedua mereka bernama Raef Nabyadh seberat 2.55 kg dan mereka kini berpantang di rumahnya di Kuala Lumpur.

Doa saya semoga mereka sentiasa sihat, selamat dan berbahagia. Saya masih menantikan gambar-gambar bayi mereka untuk dikongsi bersama rakan-rakan semua, insyaAllah...

Dan yang terakhir sekali, saya memohon doa dari semua yang sudi membaca coretan saya agar mendoakan kesihatan dan keselamatan saya. Sesungguhnya penantian itu satu penyeksaan. Namun saya tetap menanti saat kebahagiaan ini dalam debar..

Thursday, November 20, 2008

bahasa baku

Ada orang bertanya pada aku, kenapa aku menggunakan gaya penulisan yang kelihatan sangat formal dalam blog ini. Dalam erti kata lain munggunakan bahasa baku. Jawapannya mudah. Aku pencinta seni, aku pencinta bahasa dan aku juga pencinta kecantikan. Bahasa itu adalah seni yang cantik dan indah, yang perlu dijaga dengan sebaik-baiknya. Jadi walaupun aku cuma menulis blog, aku tetap akan menjaga bahasa kita yang sememangnya sudah cantik dan berseni itu. Kalau tidak kita orang Melayu yang menjaganya, siapa lagi.. Tapi terpulang pada pendapat masing-masing.